"SETIA SAMPAI SUDAH"

Ahad, 31 Disember 2017

PIDATO MENGANGKAT PENGHULU

Almarhum Dato' Mohd Shah bin Mohd Said Al-Haj, Dato' Undang Naning ke-18 (1951-2004)
Pidato mengangkat Penghulu ini, umumnya dimulai dengan kata pembukaan, katanya seperti berikut:

Menyembah saya kepada Kerapatan,
Kerapatan angku-angku dengan penghulu,
Ninik mamak alim-ulama,
Serta ipar dengan bisan,
Baikpun adik dengan kakak, serta nan hadir semuanya.

Kamanolah sambah ditujukan,
Keselangan bendul di tengah,
Nan basandar di tiang panjang,
Nan seleret tiang di sudut,
Lalu ke tepi pintu gerbang,
Lalu ke kampong ke halaman,

Sembah dan simpuh menjalani.

Adapun kemudian dari pado itu,
Tatkala insan akan ditempa,
Nyawa akan bertemu dengan badan,
Semasa dalam Rahim bunda,
Sudah sehari, dua ketiga,
Sudah sebulan berganti bulan,
Cukup kesepuluh bilangan bulannya,
Lahirlah anak ke dunia nangko,
Jika takdir anak laki-laki,
Berniatlah ibu serta bapanya.

Apolah nan jadi niat di masa itu,
Beribadatlah taat beriman teguh,
Rezeki murah umur pun panjang,
Itulah nan jadi niat dan nazar,
Dan meminta jua kepada Allah,
Sentano sampai si anak gedang,
Pandai berjaja dan berjojo,
Pandai meniru meneladan,
Pandai berdagang berniaga,
Pandai menjaga korong kampong,
Serta dengan kaum keluarganya,
Selain dari pada tentangan itu,
Pandai menjaga lebih dan kurang,
Pandai menjaga cekah dan kait,
Tahu akan rasa dan periksa,
Pandai bicara di nan ramai,
Pandai bertenggang di nan sarik.

Demikianlah niat dan nazar ibu bapa dan lagi diharapkan semoga anak dapat menduduki salah satu daripada pangkat nan empat iaitu Penghulu, Katib, Imam atau Ulama.
Jika si anak terpilih untuk menjadi Penghulu, maka pengangkatan itu dengan berhelat / menjamu ninik mamak, alim ulama, sanak saudara dipotong kerbau menurut Adat. Bahawa pidato upacaranya, sebagai sambungan pidato tadi seperti berikut:

Allah dan Rasul menggerakkan,
Bermupakat segala kaum dan famili,
Buruk dibuang dengan hitungan,
Elokpun diambil dengan mupakat,
Dapatlah rundingan seiya kata sebuah,
Ditegakkan alam dengan merawa,
Tanda pusaka akan didirikan,
Diletuskan bedil nan sepucuk,
Medecing bunyi pelantiknya,
Asap menjulang ke udara,
Anaknya pulang-pulang pergi,
Semungkir-mungkir orang menembak,
Di balik pulau kene jua.

Dipetik jua meriam Adat,
Belum disentuh sudah meletus,
Anaknya jalan sendirinya,
Bunyi rasa menggegerkan bumi,
Ngungumnya sampai ke lautan,
Gegarnya sampai ke langit,
Bergoncang candanya gunung,
Dipukul gung Ketemanggungan,
Bunyinya selingkup kampung,
Dengungnya tinggi rendahan,
Kadang-kadang mendengung di atas langit,
Kadang-kadang berbunyi dalam tanah,
Mencengangkan orang kiri kanan.

Bahawa tugas sebagai seorang yang diangkat menjadi Penghulu, itu diumumkan, dengan pidato-pidato berbunyi:

Penghulu ibarat kayu gadang,
Kau rampak di tengah kota,
Uratnya tempat orang bersela,
Batangnya tempat orang bersandar,
Dahannya tempat orang bergantung,
Akan pergi tempat orang bertanya,
Pulang tempat orang berberita,
Tempat bertanya buruk dan baik,
Menanyakan lebih dengan kurang,
Mengadakan silang dengan selisih,
Serta bantah dengan kelahi,
Menghukum adil berkata benar,
Kusut akan menyelesaikan,
Keruh akan menjernihkan.

Seperti bunyi pantun jua:

Anak orang Sungai Lasih,
Hendak mudik ke Batang Hari,
Mendaki jalan berkelok,
Menurun ke Bangkahulu,
Kalau bersua silang berselisih,
Serta bantah dengan kelahi,
Semoga diperbaiki dengan elok,
Itu bernama seorang Penghulu.

Kemudian pidato ini ditutup dengan pantun berupa ucapan doa berbunyi:

Berdendang bedil di pulau,
Orang menembak elang lautan,
Asap licin berpadu angin.

Untung-untung hokum beliau,
Datar bagai lantai papan,
Licin bagai dinding cermin.

HUBUNGAN NANING DENGAN KESULTANAN MELAKA

Perhubungan  antara  Naning  dan  Kesultanan  Melayu  Melaka  sudah  lama  terjalin kerana  Sejarah  Melayu  (Sulalatus  Salatin)  menyatakan  bahawa  cucu  kepada Bendahara  Paduka  Raja  (Tun  Perak)  iaitu  Tun  Mai  Ulat  Bulu  telah  tinggal  di kawasan  bernama  Lubuk  China  sehinggakan  beliau  digelar  sebagai  Datuk  Lubuk China  (A.  Samad  2010:265).  Berdasarkan  sistem  maklumat  sejarah  dan  geografi, Lubuk  China  merupakan  sebuah  kawasan  yang  tertakhluk  dalam  lingkungan wilayah  Naning  dan  merupakan  salah  sebuah  kawasan  yang  berada  dalam  daerah Alor  Gajah.  Menurut  Abu  Hussein  (2015),  tradisi  lisan  masyarakat  Naning  ada menyatakan  mengenai  beberapa  pembesar  Istana  Melaka  dahulu  pernah memperisterikan  wanita-wanita di Naning  dan  mereka telah menetap  di situ.  

Jika  dilihat  dari  susur-galur  Tun  Mai  Ulat  Bulu,  beliau  merupakan  anak  kepada Tun  Zainal  Abidin  merangkap  cucu  kepada  Bendahara  Paduka  Raja  (Tun  Perak). Berdasarkan  catatan  dalam  Sulalatus  Salatin  (A.  Samad  2010:265),  Tun  Mai  Ulat Bulu  merupakan  salah  seorang  pembesar  kesayangan  Sultan  Ahmad  Syah  dan sentiasa  berdamping  dengan  baginda  tetapi  beliau  masih  lagi  menetap  di  kawasan Lubuk  China.  Secara  logiknya,  Tun  Mai  Ulat  Bulu  sebagai  seorang  pembesar kesayangan  raja  seharusnya  tinggal  di  kawasan  perkarangan  atau  kawasan  yang berdekatan  Istana  Melaka.  Namun  begitu,  perkara  ini  bukanlah  sesuatu  yang menghairankan  kerana  terdapat  kemungkinan  Tun  Mai  Ulat  Bulu  memperisterikan wanita  Naning  dan  menurut  adat  istiadat  adat  Perpatih  orang  semenda  (lelaki  yang mengahwini  wanita  bersuku)  haruslah  tinggal  di  tempat  penyemendaannya  (Mohd Shah  2000:301).  Justeru,  Tun  Mai  Ulat  Bulu  tetap  tinggal  di  Lubuk  China  walaupun beliau  bertugas  sebagai  pembesar  di  Istana  Melaka  dan  sentiasa  berulang-alik  dari Melaka ke Lubuk  China.

Selain  itu,  perhubungan  antara  Kesultanan  Melayu  Melaka  dengan  Naning  dapat dilihat  dengan  kewujudan  Kampung  Melaka  Pindah  iaitu  antara  salah  sebuah mukim  yang  paling  hilir  dalam  lingkungan  wilayah  Naning.  Masyarakat  tempatan mempercayai  Kampung  Melaka  Pindah  wujud  apabila  berlakunya  perpindahan secara  besar-besaran  oleh  para  pembesar  Kesultanan  Melayu  Melaka  ekoran serangan  pihak  Portugis  pada  tahun  1511.

Menurut  cerita tempatan,  Datuk  Seri  Paduka  Maharajalela  dan  pengikutnya  telah  bertempur dengan  tentera  Portugis  lalu  berundur  melalui  Sungai  Melaka  sehingga  memasuki kawasan  wilayah  kekuasaan  Naning.  Apabila  beliau  tiba  di  sebuah  kawasan bernama  Kuala  Sempit,  Datuk  Seri  Paduka  Maharajalela  dan  pengikutnya  sekali  lagi bertempur  dengan  laskar  Portugis  lalu  mendapat  bantuan  ketenteraan. Mojoriti golongan  tua  daripada  Kampung  Melaka  Pindah berpendapat  bahawa  bantuan  yang  diterima  Datuk  Paduka  Seri  Maharajalela  dan pengikutnya  bagi  menentang  laskar-laskar  Portugis  kebanyakannya  adalah  askar-askar  daripada  Naning. Gabungan  saki-baki  askar  Melaka  di bawah  pimpinan  Datuk  Paduka  Seri  Maharajalela  dan  askar  Naning  telah  berjaya mengalahkan  pihak  Portugis  lalu  menyebabkan  askar  Portugis  berundur  ke  Melaka. Gabungan  tentera  Melaka  dan  askar  bersekutu  Naning  menyebabkan  laskar portugis  tidak  mampu  meneruskan  serangan  dibahagian  hulu  Melaka. 

Berdasarkan peristiwa  ini,  pengikut  Datuk  Seri  Paduka  Maharajalela  telah  membuat perkampungan  di  persempadanan  diantara  wilayah  kekuasaan  Kesultanan  Melaka dengan  Naning.  Oleh  itu,  Datuk  Seri  Paduka  Maharajalela  dan  para  pembesar  yang lain  secara  tidak  langsung  telah  mendapat  perlindungan  keselamatan  daripada pihak  Naning  lalu  mereka  mendiami  kawasan  itu  sehingga  ke  hari  ini. Berdasarkan  maklumat  pihak  PERZIM,  terdapat  seorang  pembesar  dan  juga  sahabat kepada  Datuk  Seri  Paduka  Maharajalela  iaitu  Datuk  Paduka  Syed  Serban  Kuning telah  bersama-sama  beliau  dalam  menentang  laskar  Portugis  di  Melaka  Pindah. Menurut  cerita  orang  Naning kawasan  puncak  Bukit  Penyalang  merupakan  kawasan  keramat  kerana  tempat  itu dipercayai  didiami  oleh  semangat  Datuk  Serban  Kuning  iaitu  salah  seorang Penghulu  Naning  selepas  Datuk  Perpatih  Nan  Sebatang.  Persamaan  nama  tokoh  ini memungkinkan  tokoh  yang  dimaksudkan  adalah  orang  yang  sama  dan  mempunyai hubung  kait  dalam  peristiwa  Perang  Portugis-Melaka  1511.

Kredit: DPSS Luqman Nulhakim Harzamar

Ahad, 17 Disember 2017

YAM DATO' UNDANG NANING KE-21 DILANTIK SEBAGAI PENAUNG KEHORMAT GALAS MALAYSIA

YAM Dato' Undang Wilayah Naning ke-21, Dato' Dr. Nordin bin Haji Abdul Jalil telah dilantik sebagai Penaung Kehormat Pertubuhan Gabungan Panji Langkasuka Malaysia (GALAS).

Perlantikan YAM Dato' Dr. Nordin berlangsung di dalam Majlis Silaturrahim & Penyampaian Watikah & Selempang TAPLS 114.

Majlis ini berlangsung di Dewan Perdana Trong, Taiping, Perak pada malam Sabtu, 16 Disember 2017.

























Jumaat, 15 Disember 2017

ULANGTAHUN ISTIADAT PERMASYHURAN YAM DATO' UNDANG WILAYAH NANING KE-21

Pada hari ini di dalam tahun 2013, YM Dato' Nordin bin Abdul Jalil telah dimasyhurkan sebagai Kebawah Kaus Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Maharaja Merah, Dato' Undang Wilayah Naning Melaka ke-21.

Istiadat Permasyhuran yang penuh bersejarah ini berlangsung dalam suasana gilang-gemilang di Dewan Istana, A'Famosa Resorts, Alor Gajah, Melaka.

Isnin, 11 Disember 2017

YAM DATO’ UNDANG NANING KE-21 DILANTIK SEBAGAI PENAUNG BGFA MALAYSIA

YAM Dato’ Undang Wilayah Naning ke-21, Dato’ Dr. Nordin bin Abdul Jalil telah dilantik sebagai Penaung Persatuan Keluarga Pengawal Peribadi Malaysia (BGFA), berkuatkuasa 10 Disember 2017.
Majlis pelantikan tersebut berlangsung di dalam Program Ramah Mesra Persatuan Keluarga Pengawal Peribadi (BGFA) Malaysia di kediaman Ahli Kehormat HQ BGFA Malaysia, Dato’ Rusli Mokhtar dan Datin Azlina Abdul Kudus, di Taman Cenderawasih, Seremban, pada 10 Disember 2017.

Setinggi-tinggi Tahniah diucapkan kepada YAM Dato’ Undang Naning ke-21.