"SETIA SAMPAI SUDAH"

Rabu, 11 Oktober 2017

PELANTIKAN YAM DATO' UNDANG NANING KE-21

Pada 11 Oktober 2013, YM Dato’ Paduka Nordin bin Haji Abdul Jalil telah dilantik sebagai YAM Dato’ Undang Wilayah Naning ke-21, dengan gelaran YAM Orang Kaya Seri Maharaja Merah, Dato’ Undang Naning ke-21.

Perlantikan ini diputuskan sebulat suara di dalam Mesyuarat Khas Lembaga Adat Naning yang berlangsung di Pejabat Lembaga Adat Naning, A’Famosa Resorts, Alor Gajah, Melaka.

Lembaga Adat Naning ini dianggotai oleh Pembesar Waris, Tiang Balai, Isi Balai, Ibu Soko, AJK Lembaga Adat Naning dan Penghulu-penghulu 25 Mukim di dalam Wilayah Naning.




Selasa, 10 Oktober 2017

ISTIADAT PERMASYHURAN DATO' UNDANG WILAYAH NANING KE-21

Istiadat Permasyhuran Dato’ Nordin bin Haji Abdul Jalil sebagai Kebawah Kaus Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Maharaja Merah Dato’ Undang Wilayah Naning ke-21 telah berlangsung di Dewan Istana, A’ Famosa Resorts, Alor Gajah, pada 15 Disember 2013, bersamaan 11 Safar 1435H.

ISTIADAT BERKORJAN DATO' UNDANG WILAYAH NANING KE-21

Istiadat 'Berkorjan' (Berkerajaan) Yang Amat Mulia Dato' Nordin bin Abdul Jalil sebagai Orang Kaya Seri Maharaja Merah Dato' Undang Wilayah Naning ke-21, telah dilangsungkan di Masjid Dol Said, Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka; pada 21 Disember 2013, bersamaan 18 Safar 1435H.

Sila klik di bawah, untuk gambar dan info lanjut.

ISTIADAT MONAJAT DI BUKIT PENYALANG

ISTIADAT BERSIRAM DI PERIGI GAONG


Ahad, 8 Oktober 2017

YANG AMAT MULIA ORANG KAYA SERI MAHARAJA MERAH, DATO’ UNDANG WILAYAH NANING KE-21

PROFAIL
Nama :
NORDIN BIN ABDUL JALIL

Tarikh Lahir :
27 APRIL 1954

Kelulusan :
Doctor of Social & Humanity
(Good Samaritan Mission & International University)

Diploma in Electronic Radio Communication
(Nanyang Institute of Technology)


Pengalaman Bekerja :
1971 – 1972
Buruh Kasar

1972 – 1973
Kerani Perkayuan

1974 – 1986
Bekerja di sebuah Syarikat Antarabangsa di dalam bidang Telecommunication (Ericsson). Bermula sebagai Tester (Engineer) dan berkesudahan dengan jawatan Quality Auditor, merangkumi South East Asia

1986 – 1988
Bekerja sendiri sebagai usahawan di bidang Construction

1988 – 1990
Bekerja di sebuah syarikat Telecommunication sebagai Store Capper Supervisor

1991 – 1993
Bekerja di sebuah syarikat Consultant (Ranhill Bersekutu)
Sebagai Consultant Engineer di bidang Fibre Optic

1993 – 2005
Bekerja di sebuah anak syarikat Telekom Malaysia (Mobikom)
Sebagai seorang Engineer di bidang pembangunan Telecommunication. Jawatan tertinggi pernah disandang sebagai Ketua Jurutera kawasan Selatan, merangkumi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor

2005 – 2007
Bekerja di sebuah syarikat pembinaan (Perintis Optima Sdn. Bhd.)
Sebagai Pengurus Projek

2007 – 2011
Bekerja di sebuah syarikat Telco (EzzPro Sdn. Bhd.)
Sebagai Pengurus Projek

2011 – 2013
Business Partner di sebuah syarikat Telco
Sebagai Pengarah Projek, merangkumi Sabah dan Sarawak

2013
Dilantik sebagai Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Maharaja Merah, Dato’ Undang Wilayah Naning ke-21


Kursus Yang Pernah Dihadiri :
1. Quality Control (By SIRIM)
2. Top Quality Control Part 2 (By SIRIM)
3. Kursus Electronic Radio Communication by Company Ericsson (Local)
4. Kursus Radio Telecommunication di Ericsson Sweden
5. Kursus Fibre Optic di Telekom Malaysia

ANUGERAH ADAT YANG DITERIMA :
1. YAM DATO’ UNDANG WILAYAH NANING MELAKA
2. DARJAH SERI SETIA SULTAN ARIF SHAH (SSSA) INDERAGIRI, DENGAN MEMBAWA GELARAN “DATO’ SERI
3. DARJAH KERATON DJIPANG, BERGELAR “RADEN TUMENGGUNG DATO’ PERDUKA
4. BINTANG DARJAH KERABAT KUTAI MULARAMAN, BERGELAR “DATO’ SERI PADUKA
5. PIAGAM PENGHARGAAN FOROM KOMUNIKASI SELURUH INDONESIA (FORDSSI) RAJA GONTAR, “ANUGERAH PENDULI PENDIDIKAN
6. PERLANTIKAN SEBAGAI AHLI MAJLIS DIRAJA OLEH MALAY BOOK OF RECORD

AKTIVITI LUAR / NGO :
1. Electrical Industrial Wokers Union “Works Site Committee Chairman”
2. Ahli Kehormat PEKIDA Malaysia (Wilayah Persekutuan / Putrajaya)
3. Pertubuhan Angkatan Perpaduan Islam Sejagat Malaysia (API), sebagai “Penaung Melaka”
4. Kelab Pragmatis Infiniti Malaysia (Prihaatin), sebagai “Ahli Majlis Kehormat Tertinggi”

PERJANJIAN BRITISH – NANING, 1801M

PERSETIAAN YANG DIIKAT PADA 1801 OLEH RESIDEN BRITISH DI MELAKA, LEFTENAN KOLONEL TAYLOR DENGAN PENGHULU NANING

Perkara dan syarat yang diimlakkan oleh Leftenan Kolonel Aldwell Taylor, Gabenor dan Komandan Melaka, untuk dan bagi pihak Yang Mulia Gabenor Kota St. George dengan Raja Merah Kapitan Penghulu, dll., yang bernama Dol Said; dan Lela Hulubalang dan Maulana Hakim, yang bergelar Orang Kaya; Kecil yang bergelar Musah; dan Menobonjon-kaya bergelar Konchil dan Maharaja Ankaia bergelar Sumuna; dan Maulana Garang, Menteri dan Pembesar Naning dan kampung-kampung di sekelilingnya yang dengan sesungguhnya telah menerima dan berikrar mematuhi Perkara-perkara berikut:-

Perkara I
Kapitan, atau Penghulu, Menteri, dan Pembesar-pembesar berjanji dan bersumpah atas nama dan bagi pihak seluruh masyarakat Naning, untuk taat setia kepada Yang Mulia Gabenor dalam Majlis di Kota Saint George yang tersebut di atas, dan demikian juga kepada Gabenor dan Komandan Bandar dan Kota ini, serta semua Komandan yang ada atau yang selepas ini dilantik di bawah mereka dan tambahan pula, mereka akan melakukan apa-apa sahaja dengan penuh taat setia kepada Pihak Berkuasa British, sebagaimana yang dikehendaki daripada rakyat yang taat setia, tanpa bersama-sama atau secara berasingan mencuba melakukan apa-apa langkah permusuhan terhadap Gabenor tersebut, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, dan Perkara-perkara berikut hendaklah dipatuhi dengan sesungguhnya dan dengan seketat-ketatnya, dan segala kontrak dan waad lain yang telah diluluskan dengan negara lain yang boleh memudaratkan British hendaklah dimansuhkan.

Perkara II
Jika mana-mana orang di Naning, anak Minangkabau dan anak Melayu, melanggar kandungan Kontrak ini, atau ingkar kepada Gabenor atau Pegawainya, maka Penghulu dan Pembesar hendaklah, apabila diminta oleh Gabenor, menyerahkan mereka bagi dihukum sebagaimana sepatutnya.

Perkara III
Penghulu, Pembesar dan penduduk Naning keturunan Minangkabau, dan juga Melayu, adalah terikat untuk menyerahkan satu per sepuluh daripada hasil padi dan segala buah-buahan mereka kepada Syarikat Hindia Timur; tetapi memandangkan keadaan mereka yang miskin, Syarikat tersebut telah memutuskan bahawa Penghulu hendaklah datang sendiri, setiap tahun, atau mengarahkan salah seorang Pembesarnya supaya datang ke Melaka, bagi memberi penghormatan kepada Syarikat, dan, sebagai tanda taat setia mereka, mereka hendaklah menghadiahkan Syarikat tuaian pertama mereka sebanyak setengah koyan padi (400 gantang).

Perkara IV
Penduduk Naning, apabila meninggalkan negeri mereka untuk ke Melaka, hendaklah menyerahkan kepada Syahbandar kebenaran bertulis daripada Penghulu, yang ditandatangan dan dicapmeterainya; dan begitu juga semua orang yang ingin meninggalkan Melaka untuk ke Naning, diarahkan supaya menunjukkan dokumen serupa kepada pihak berkuasa di sana, yang ditandatangani (atas perintah Kerajaan) oleh Syahbandar; jika tidak, kedua-dua pihak wajib menghantar balik orang yang berkenaan itu; tetapi apabila ditunjukkan Perakuan yang dikehendaki, mereka akan dibenarkan tinggal di Naning dan di kampung-kampung bersebelahan dan mencari nafkah dengan bercucuk tanam seperti menanam sirih, dll., dengan syarat mereka berpegang teguh dan mematuhi adat resam tempat itu sebagaimana yang diamalkan penduduk lain.

Perkara V
Penghulu dan Pembesar berjanji bahawa semua bijih timah yang dibawa dari Sri Menanti, Sungai Ujong, Rembau, dan tempat-tempat lain di daerah-daerah itu ke Naning, hendaklah dengan serta-merta dihantar dan diserahkan kepada Syarikat, di mana mereka akan menerima sebanyak 44 Dolar Rix tunai, dibayar dengan wang Rupee Surat, bagi setiap bahara 300 kati.

Perkara VI
Mereka juga berjanji menyerahkan lada Naning dan lada daerah-daerah bersebelahan kepada Syarikat, jika apa-apa jumlah yang banyak diperlukan, dengan dibayar harga 12 Dolar Rix sebahara.

Perkara VII
Penghulu, Pembesar, dan penduduk Naning tidak dibenarkan merunding (jualan) atau berdagang dengan mana-mana negeri pedalaman, tetapi hendaklah membawa barang-barang mereka menghilir Sungai Melaka, dengan menggunakannya, tanpa apa-apa jua alasan untuk menggunakan mana-mana laluan atau cara pengangkutan lain, dan mereka juga tidak boleh mengadakan apa-apa perhubungan dengan mana-mana negeri pedalaman di Sungai Penajis, jika tidak nyawa mereka akan melayang dan harta benda mereka dirampas.

Perkara VIII
Penghulu dan Pembesar berjanji, atas nama Masyarakat Naning, bahawa bilamana Pembesar Yang Memerintah berundur daripada memerintah, atau apa-apa geruh menimpa mereka, Penghulu dan Pembesar hendaklah dalam keadaan sedemikian mencadangkan salah seorang daripada anggota keluarga mereka yang terdekat dan paling berkelayakan, kepada Gabenor Melaka, bagi menjadi penggantinya; tetapi mereka tidaklah boleh mengharapkan cadangan itu akan sentiasa dipersetujui Gabenor; sebaliknya adalah menjadi pilihan Gabenor melantik sesiapa yang difikirkannya patut dilantik.

Perkara IX
Mana-mana hamba sama ada kepunyaan Syarikat Yang Mulia, atau kepunyaan penduduk Melaka, yang mencari perlindungan di Naning, atau di kampung-kampung atau di tempat-tempat di sekelilingnya, maka Penghulu, Pembesar dan penduduk (tiada sesiapa pun yang dikecualikan) adalah terikat bagi menangkap dan menghantar ke Pekan orang pelarian itu dengan serta-merta, (atau) orang pelarian itu boleh diserahkan kepada tuan mereka dan tuntutan sebanyak 10 Dolar Rix, tidak lebih daripada itu, boleh dituntut daripada tuannya sebagai hadiah.

Perkara X
Mana-mana hamba lelaki dan perempuan yang dipujuk lari dari Naning ke Melaka, bagi memeluk agama Kristian, maka tuan punya hamba itu akan menerima ganti rugi sebanyak separuh daripada harga hamba itu, mengikut penilaian Jawatankuasa yang akan dilantik Kerajaan.

Perkara XI
Tetapi (jika) mana-mana orang menjual mana-mana hamba beragama Kristian atau orang biasa dari Melaka kepada orang Islam atau orang Pagan, sama ada dengan kerelaan mereka sendiri atau digoda ataupun dilarikan secara paksa daripada tuan mereka, lebih-lebih lagi mereka yang menggoda hamba Kristian atau orang biasa supaya berkhatan atau menggunakan kekerasan bagi mempengaruhi mereka menjadi orang Islam, nyawa mereka akan melayang dan harta benda mereka dirampas.

Perkara XII
Dan bahawa kandungan Perkara tersebut hendaklah dipatuhi tanpa boleh dilanggar, dan Penghulu serta Pembesar berjanji dan bersumpah atas nama seluruh masyarakat, bahawa mereka akan serta-merta memulangkan dan menyerahkan kepada Yang Mulia Gabenor semua hamba yang lari yang berada di Naning atau di tempat-tempat lain.

Perkara XIII
Akhir sekali, Penghulu dan Pembesar berjanji dan bersumpah dengan menggunakan al-Quran, atas nama masyarakat Naning, bahawa mereka akan mematuhi dengan sesungguhnya segala perintah yang ditetapkan dalam Perkara-perkara ini, dan mengikat diri mereka bagi menyerahkan mana-mana pencabul perintah tersebut kepada Syarikat Hindia Timur, supaya hukuman boleh dikenakan ke atas orang itu.

Bagi menyempurnakan segala yang dijanjikan dan dipersetujui dalam Perjanjian ini, maka saya dengan ini menurunkan tandatangan saya.

Dibuat dan diikrarkan di Bandar dan Kota Melaka pada 16 hari bulan Julai 1801.

(Tandatangan) A. TAYLOR.


Ikrar Penghulu dan Pembesar Naning
Kami, Kapitan atau Penghulu dan Pembesar-pembesar, berjanji dan bersumpah bagi pihak diri kami dan juga bagi pihak masyarakat Naning, akan sentiasa taat setia kepada Gabenor dalam Majlis Kota Saint George, Gabenor dan Komandan Melaka, serta semua Komander yang dilantik atau yang akan dilantik di bawah mereka selepas ini, dan selanjutnya akan menepati masa bagi memenuhi segala perintah dan arahan yang dikeluarkan atau yang akan dikeluarkan selepas ini, dan akan berkelakuan sewajarnya terhadap Syarikat Hindia Timur pada masa hadapan, mengikut cara sebagaimana yang dikehendaki daripada rakyat dan vasal yang taat setia.

Ditandatangani oleh DOL SAID, BILAL MOREN, KANJUN, SAMEON dan MAULANA GUNAN.

Sabtu, 7 Oktober 2017

ADAT PERPATIH NANING MELAKA

Terdirinya Naning menjadi sebuah negeri yang merdeka dan berdaulat ialah melalui ‘penerokaan’ iaitu nenek moyang yang menerokanya pada abad yang ke 13. Kumpulan keluarga yang mula-mula sampai dari Alam Pagar Ruyung,Minangkabau Sumatera pada abad yang ke 13 mengandungi 4 kumpulan keluarga iaitu :
  1. Kumpulan Keluarga Nan Bergajah Tunggal iaitu Keluarga  Diraja
  2. Kumpulan Keluarga Semelenggang
  3. Kumpulan Keluarga Tiga Batu
  4. Kumpulan Keluarga Mungka

Sesampainya kumpulan ini di tanah besar Semenanjung ini ialah hendak naik ke hulu untuk meneroka. Hasrat kumpulan ini diikuti satu kumpulan baru yang diberi nama Kumpulan Keluarga Anak Melaka. Akhirnya kumpulan ini sampai ke satu tempat yang diberi nama Kampung Pengkalan, yang berhampiran dengan pekan Alor Gajah  dan kumpulan ini telah membuka beberapa menempatan baru sepertiKampung Kelemak, Kampung Paya Datuk, Bukit Serusok, Bukit Tompunek, Bukit Biso  yang di kenali Bukit Penyalang  dan beberapa lagi kawasan baru yang telah diteroka . Merantaunya anak-anak raja dari Alam Pagar Ruyung Minangkabau  ke Kepulauan Melayu khususnya Negeri Melaka (sekarang) diketuai oleh Dato' Temenggong dan tiga orang adik perempuan tiri dan seorang adik lelaki tiri iaitu satu emak lain bapa,empat orang puteri seorang putera tersebut bernama :
  1. Puteri Reno Mande
  2. Puteri Ambon Suri
  3. Puteri Cahyo Dune
  4. Putera Balun bergelar Dato' Pepatih Nan Sebatang

Dato' Temenggong telah membuka penempatan di persisir pantai dan mewujudkan adat yang diberi nama Adat Temenggong. Dato' Perpatih Nan Sebatang telah memecah tradisi pembukaan penempatan, maka Dato' Perpatih Nan Sebatang talah menjelajah hingga ke pedalaman dan tiba di satu kawasan yang bernama Pengkalan. Disitulah bermulanya cara hidup yang kini diberi nama Adat Pepatih dan diguna pakai hingga ke hari ini. Keturunan Bergajah Tunggal ini telah membina masyarakat yang penuh adat istiadat hingga ke kurun 16 lahir seseorang pemimpin bagi mengetuai masyarakat berkenaan. Pemimpin tersebut diberi nama Penghulu Naning. Penghulu Naning yang pertama ialah Dato' Megat Alam Melintang pada tahun 1641.

LEMBAGA ADAT 
Ketiga-tiga perut (Ibu) Nan Bergajah Tunggal telah sepakat memilih putera di kalangan mereka untuk diangkat menjadi Dato' Penghulu Naning (Undang Naning). Maka satu jawatankuasa ketika itu diwujudkan iaitu Pembesar Waris . Seandainya Dato' Penghulu Naning mangkat maka akan dilantik pula dikalangan putera ibu yang lain seterusnya akan berterusan mengikut giliran. Dato' Penghulu Naning memerintah dengan dibantu oleh Lembaga Adat.

MAKNA UNDANG
Seorang yang berkuasa dan mempunyai hak pemutus dan berkuasa membuat serta memasyhurkan undang-undang (adat). Maka di dalam Wilayah Adat Perpatih Naning ialah YAM Pusaka Kebesaran Orang Kaya Seri Raja Merah (Undang Naning)  yang diberi kuasa oleh adat yang diadat yang berbunyi :-
Sokali air bah
Sokali pasir berubah
Sokali Rajo Boganti
Sokali Adat Bokisar
Undang Nan Bokolantasan
Hidup mati Kopado Undang
Undang Nan menitik
Lombago Nan Monampong
Anak Buah Bosolimut pagi
Bosolendang potang
(Tambo Alam Naning ms. 84 (29xvii) (u)

KUASA ADAT :- Kuasa Khas
Undang Nan Bokolantasan
Hidup Mati Kopado Undang
Undang Nan Menitikan
Lombago Nan Monampong
Kok Bolenggang tak tosangkut
Kok melonjak tak tosorunduk

Begitulah kata adat yang memberi kuasa khas kepada Undang Naning dan juga kuasa pemutus.
(Tambo Alam Naning ms. 103 (43))

RAJA MATI RAJA MENANAM
Adat berkata :-
Patah tumbuh hilang boganti
Hilang satu boganti satu
Tak boleh dianjak , dialih lagi
Dicabut bopantang layu
Dianjak bopantang mati
Raja mati Raja menanam
Sohari tanam sohari tumbuh

Maka dengan rangkap kata ini kuasa bagi Undang itu tidak akan ada gantinya dan tidak boleh dipecat semasa hidupnya .Dan hendaklah dilantik gantinya sebelum dimakamkan. Bermakna Undang itu tidak ada putusnya melainkan bersambung. Inilah yang dimaksudkan "Raja Mati Raja Menanam" (Tambo Alam Naning ms. 96 (36))

HAK UNDANG NANING
Bahawa apabila Lombago Nan Bosokat iaitu Tiang Balai, Isi Balai didapati kesalahan dibawah fasal 56 (Tambo Alam Naning) maka Posako itu terserah kepada Undang Naning memberitahu suku yang berkenaan seluruh Wilayah Adat Perpatih Naning supaya menghantar calon kepada Balai Undang Naning untuk dipertimbangankan dilantik sepanjang adat nan di adatkan oleh Undang Naning .
(Tambo Alam Naning ms. 114 (56A))

SALAH BUAT PUSAKO LURUH
Kata adat ini tidak diadatkan (mesti tidak boleh) meluruhkan (pecat) pusako Undang Naning.
Kata adat ini khas kepada Lombago Nan Bosokat seperti :-
  1. Lombago Undang Naning, Tiang Balai, Isi Balai .
  2. Dato' Setia Bakti - Penghulu Adat Mukim .
  3. Lombago yang berpangkat Tuo dan Lombago yang berpangkat Buapak.
  4. Lombago yang lain seperti Imam, Khatib, Bilal, dan juga Lombago Syarak, juga Posako Melayang yang lain.(Tambo Alam Naning ms.75(29-xv(s)

Maksudnya ialah apabila seorang Dato' Lombago Nan Bosokat itu telah didapati melakukan satu kesalahan yang mencemarkan kebersihan posako yang dijunjung itu seperti menghukum luar dari kuasanya atau telah didapati melakukan kesalahan bersalah salahan dan yang lain-lainya maka posako yang dijunjung itu luruhlah iaitu terserahlah pada yang hak . Jika posako suku maka terpulang pada sukunya akan melantik yang lain pula. (Tambo Alam Naning ms114.(56)(III)ms.136(79))

MENJUNJUNG PUSAKO SEUMUR HIDUP
Bahawa kemudian daripada itu, maka seseorang anak buah yang telah dilantik menjunjung pusako Orang Kaya Seri Raja Merah Dato' Penghulu Naning (Undang Naning) diadatkan baginya menjunjung posako itu seumur hidup. Apabila telah selesai istiadat bokorjan Berkerjaan. (Tambo Alam Naning ms. 178 ( 122 ))

Bahawa diadatkan bagi Yang Amat Mulia Dato' Orang Kaya Seri Raja Merah Dato' Penghulu Naning (Undang Naning)bagi melantik :-
  • Empat Orang Pembesar Waris Undang Naning (Bab VI Fasal 101)
  • Tujuh Orang Lembago Nan Bosokat yang berpangkat Lombago Undang Naning iaitu (Tujuh Orang Lembago Yang  Bersekat yang berpangkat Lembaga Undang Naning )
  • Empat Orang Berpangkat Tiang Balai Undang Naning
  • Tiga Orang Berpangkat Isi  Balai Undang Naning (Bab VI Fasal 102 , Bab IX Fasal 145 dan147)
  • Dua puluh lima Orang Lombago Nan Bosokat yang Berpangkat Penghulu Adat Luak; Seorang bagi tiap-tiap satu Luak nan dua puluh lima yang bergelar Dato' Setia Bakti (Dua puluh lima Orang Lembaga yang Bersekat yang Berpangkat Penghulu)
  • Adat seorang bagi tiap-tiap  satu Mukim yang terdiri dari dua puluh lima yang bergelar Dato' Setia Bakti (Bab IX Fasal 159 dan 160)