Perang
Naning 1832 merupakan sebuah perang yang mencerminkan sifat kepahlawanan dalam
kalangan orang-orang Melayu. Selain daripada Datuk Dol Said, Perang Naning
memperlihatkan ramai tokoh-tokoh pahlawan yang sanggup berjuang demi
mempertahankan bangsa dan agama.
Antara
nama pahlawan yang menjadi lagenda dalam masyarakat Naning terutamanya di
kawasan pekan Alor Gajah adalah Orang Kaya Marhum Berdiri. Walaupun tidak
terkenal seperti Allahyarham Datuk Dol Said, namun namanya sering diceritakan
dalam kalangan penduduk. Orang Kaya Marhum Berdiri atau nama sebenarnya Orang
Kaya Besar Datuk Aji Marhum Berdiri merupakan seorang pembesar Tiang Balai
Naning dari suku Anak Melaka Paya, merupakan Penghulu Besar di kawasan Alor
Gajah. Beliau mempunyai seorang anak yang bernama Orang Kaya Andika Raja Datuk
Mat Sah yang merupakan Penghulu Demang di Wilayah Naning selepas perang Naning
1832.
Lagenda
Orang Kaya Marhum Berdiri bermula semasa Perang Naning 1832, apabila Orang Kaya
Besar Datuk Aji bermati-matian mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh
bangsa Inggeris. Menurut cerita orang-orang tua, selepas orang Inggeris
mengetahui kelemahan orang orang Naning, maka ketika itu gugurlah seorang demi
seorang pejuang Naning sehinggalah kubu di kawasan pekan Alor Gajah berjaya
ditembusi oleh pihak Inggeris. Melihat
daripada keadaan itu, maka Datuk Aji telah bermati-matian menentang askar-askar
Inggeris yang terdiri daripada askar Gujerat. Ketika inilah askar-askar dari
pihak Inggeris bertalu-talu menembak Datuk Aji kerana beliau menghalang
kemaraan tentera Inggeris daripada menyerang Taboh Naning.
Datuk
Aji dalam mempertahankan kubunya menyebabkan askar-askar Inggeris mula
menjadikannya sasaran penepangan. Tembakan demi tembakan menghujani tubuhnya,
namun beliau terus melibas pedangnya sehingga patah lalu mengeluarkan kerisnya
untuk terus membunuh musuh. Luka tembakan menyebabkan darah beliau keluar
mencurah-curah tanpa berhenti dalam jangka masa lama, Datuk Aji tidak
mempedulikan tembakan-tembakan, kerana di depan matanya ia telah terlihat
Syurga Allah. Selepas lama bertarung, akhirnya Datuk Aji telah meninggal dunia
dalam keadaan berdiri sambil membuka kuda-kuda silat dengan tangannya menjulang
keris dan matanya kelihatan putih. Maka ketika itulah beliau telah Syahid
menghadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam keadaan berdiri memperjuangkan agama
dan bangsa. Setelah diperiksa, maka kematian Datuk Aji bukanlah kerana
tembakan, akan tetapi disebabkan darahnya telah kering di badan. Oleh itu,
berdasarkan peristiwa ini maka wujudlah bidalan orang tua-tua iaitu berjuang
sehingga titisan darah yang terakhir.
Dikhabarkan
daripada orang tua-tua bahawa ketika jenazahnya hendak diusung untuk dibawa
pulang ke rumah, buluh yang mengusungnya patah kerana beratnya jenazah itu.
Apabila diteliti oleh ahli keluarga, maka di tubuh arwah terdapat banyak
peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya sehinggakan tubuh arwah menjadi berat. Maka
ketika itu ahli keluarga dan sahabat handai membantu mencungkil keluar
peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya. Selepas mengeluarkan seluruh peluru di
badan maka didapati peluru itu memenuhi satu batil besar. Bayangkanlah betapa
seksanya beliau menahan kesakitan daripada hujanan peluru-peluru penjajah.
Maka
sekalian orang Melayu lihatlah bagaimana Datuk nenek moyang kita pertahankan
tanah air dan bangsa menggunakan nyawa dan darah. Tidakkah kita mengenang jerih
perit datuk nenek moyang kita yang mempertahankan agama dan bangsa?
Kredit: Kembara Tanah Biso & Waris
Almarhum Orang Kaya Besar Datuk Aji
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.