"SETIA SAMPAI SUDAH"

Khamis, 3 Januari 2019

YAM DATO’ UNDANG NANING KE-21 MENERIMA UNDANGAN KE RIAU

Yang Amat Mulia Dato’ Undang Wilayah Naning ke-21, Dato’ Dr. Nordin bin Abdul Jalil telah menerima undangan daripada Warisan Budaya Melayu dan Sosial Kesultanan Kerajaan Riau Lingga, bersempena Pesta Wisata Budaya Anak Negeri 2019.

Yang Amat telah berangkat ke Riau pada 31 Disember 2018. Ketika di Riau, Yang Amat Mulia telah menghadiri pelbagai acara yang diadakan di sana. Antaranya ialah Malam Silaturahmi Masyarakat Adat Nusantara, yang diadakan pada 31 Disember 2018 di Hotel Gembira, Tanjung Batu, Karimun.

Yang Amat Mulia telah berangkat pulang pada Rabu, 2 Januari 2019.





















































Sabtu, 22 Disember 2018

ORANG KAYA BESAR DATUK AJI MARHUM BERDIRI

Perang Naning 1832 merupakan sebuah perang yang mencerminkan sifat kepahlawanan dalam kalangan orang-orang Melayu. Selain daripada Datuk Dol Said, Perang Naning memperlihatkan ramai tokoh-tokoh pahlawan yang sanggup berjuang demi mempertahankan bangsa dan agama.

Antara nama pahlawan yang menjadi lagenda dalam masyarakat Naning terutamanya di kawasan pekan Alor Gajah adalah Orang Kaya Marhum Berdiri. Walaupun tidak terkenal seperti Allahyarham Datuk Dol Said, namun namanya sering diceritakan dalam kalangan penduduk. Orang Kaya Marhum Berdiri atau nama sebenarnya Orang Kaya Besar Datuk Aji Marhum Berdiri merupakan seorang pembesar Tiang Balai Naning dari suku Anak Melaka Paya, merupakan Penghulu Besar di kawasan Alor Gajah. Beliau mempunyai seorang anak yang bernama Orang Kaya Andika Raja Datuk Mat Sah yang merupakan Penghulu Demang di Wilayah Naning selepas perang Naning 1832.

Lagenda Orang Kaya Marhum Berdiri bermula semasa Perang Naning 1832, apabila Orang Kaya Besar Datuk Aji bermati-matian mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh bangsa Inggeris. Menurut cerita orang-orang tua, selepas orang Inggeris mengetahui kelemahan orang orang Naning, maka ketika itu gugurlah seorang demi seorang pejuang Naning sehinggalah kubu di kawasan pekan Alor Gajah berjaya ditembusi oleh  pihak Inggeris. Melihat daripada keadaan itu, maka Datuk Aji telah bermati-matian menentang askar-askar Inggeris yang terdiri daripada askar Gujerat. Ketika inilah askar-askar dari pihak Inggeris bertalu-talu menembak Datuk Aji kerana beliau menghalang kemaraan tentera Inggeris daripada menyerang Taboh Naning.

Datuk Aji dalam mempertahankan kubunya menyebabkan askar-askar Inggeris mula menjadikannya sasaran penepangan. Tembakan demi tembakan menghujani tubuhnya, namun beliau terus melibas pedangnya sehingga patah lalu mengeluarkan kerisnya untuk terus membunuh musuh. Luka tembakan menyebabkan darah beliau keluar mencurah-curah tanpa berhenti dalam jangka masa lama, Datuk Aji tidak mempedulikan tembakan-tembakan, kerana di depan matanya ia telah terlihat Syurga Allah. Selepas lama bertarung, akhirnya Datuk Aji telah meninggal dunia dalam keadaan berdiri sambil membuka kuda-kuda silat dengan tangannya menjulang keris dan matanya kelihatan putih. Maka ketika itulah beliau telah Syahid menghadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam keadaan berdiri memperjuangkan agama dan bangsa. Setelah diperiksa, maka kematian Datuk Aji bukanlah kerana tembakan, akan tetapi disebabkan darahnya telah kering di badan. Oleh itu, berdasarkan peristiwa ini maka wujudlah bidalan orang tua-tua iaitu berjuang sehingga titisan darah yang terakhir.

Dikhabarkan daripada orang tua-tua bahawa ketika jenazahnya hendak diusung untuk dibawa pulang ke rumah, buluh yang mengusungnya patah kerana beratnya jenazah itu. Apabila diteliti oleh ahli keluarga, maka di tubuh arwah terdapat banyak peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya sehinggakan tubuh arwah menjadi berat. Maka ketika itu ahli keluarga dan sahabat handai membantu mencungkil keluar peluru-peluru yang tertanam di tubuhnya. Selepas mengeluarkan seluruh peluru di badan maka didapati peluru itu memenuhi satu batil besar. Bayangkanlah betapa seksanya beliau menahan kesakitan daripada hujanan peluru-peluru penjajah.

Maka sekalian orang Melayu lihatlah bagaimana Datuk nenek moyang kita pertahankan tanah air dan bangsa menggunakan nyawa dan darah. Tidakkah kita mengenang jerih perit datuk nenek moyang kita yang mempertahankan agama dan bangsa?
 
Batil yang digunakan untuk menyimpan peluru dari badan Orang Kaya Besar Datuk Aji

Kredit: Kembara Tanah Biso & Waris Almarhum Orang Kaya Besar Datuk Aji

Jumaat, 30 November 2018

PENGHULU ATAU RAJA NANING?

Mutakhir ini, berlaku suatu polemik yang agak mengelirukan masyarakat mengenai status Datuk Naning iaitu sebagai Penghulu atau Raja di Naning.
Bagi menjawab persoalan ini marilah kita membuat sedikit sorotan sejarah mengenai status ini.

1. Dalam sebuah dokumen rasmi terbitan Istana Seri Menanti bertajuk ‘Sejarah Raja-raja Melayu dan adat istiadat Negeri Sembilan’ yang kini tersimpan rapi di Arkib Negara Malaysia (ANM) secara jelas menyatakan gelaran Datuk Naning dikenali sebagai ‘SULTAN LELA MERAH’.

2. Pada sebuah buku bertajuk ‘Sejarah Negeri Sembilan’ yang ditulis Zakiah pada tahun 2004 menyatakan bahawa Naning diperintah oleh seorang bergelar ‘Raja Naning’.

3. Dalam sebuah jurnal peribadi tulisan Gabenor Belanda pada tahun 1678 yang bernama Governor Balthasar Bort menyatakan di Naning terdapat seorang ‘RAJA’ dari keturunan Minangkabau yang sangat sakti.

4. Datuk Perpatih Nan Sebatang atau Sutan Merah Jatang Balun adalah anak kepada Ratu Indah Jeliya (Ratu Sumatera) atau Ratu Indo Chati dan cucu kepada Seri Paduka Raja Indrawarman (Raja Kerajaan Sriwijaya).

5. Sultan Muzafar Shah (Sultan Melaka) pernah menganugerahkan gelaran RAJA kepada Datuk Perpatih namun ditolak beliau.

6. Gelaran ‘Megat’ , ‘Merah’, ‘Tengku’ dan ‘Raja’ adalah hanya untuk kerabat diraja sahaja. Gelaran ini semua ada pada nama Datuk-datuk Naning yang lampau.

7. Ratu Elizeberth II (yang sekarang ini) pernah menghadap Datuk Naning pada tahun 1959 di Naning.

8. Dalam sebuah buku lama tulisan Darus Ahmad pada tahun 1957 menyatakan bahawa Datuk Naning adalah setaraf dengan Raja-raja Melayu di Tanah Melayu.

9. Dalam perlembagaan menyatakan terdapat kewujudan Raja-raja kecil seperti Tunku Besar Tampin dan salah satunya terdapat di Melaka.

10. Datuk Naning satu-satunya pembesar negeri yang boleh menganugerahkan pingat kebesaran selain Sultan dan Gabenor yang diiktiraf kerajaan pusat.

Justeru, anda boleh menilaikan sendiri siapa dan apakah status Datuk Naning.

P/S: DYAM Tunku Mahkota Johor pernah kata ada 10 Raja di Malaysia. Siapa raja ke 10 ye?


Kredit: Kembara Tanah Biso

Isnin, 1 Oktober 2018

YAM DATO' UNDANG NANING KE-21 MENGHADIRI MAJLIS HIMPUNAN PENDEKAR NEGARA

Yang Amat Mulia Dato’ Undang Wilayah Naning ke-21, Dato’ Dr. Nordin bin Abdul Jalil telah berangkat memenuhi undangan Majlis Himpunan Pendekar Negara & Sambutan Hol Muharram Gabungan Panji Ria, Dengan Kerjasama Persilat Negeri Johor 2018.


Majlis tersebut berlangsung pada 29 September 2018, di Gelanggang PSS Bima Sakti Sejagat Alam, Kampung Payamas, Tangkak, Johor.


Pada majlis tersebut juga, Yang Amat Mulia Dato’ Dr. Nordin turut menerima selempang penghargaan daripada Pertubuhan Seni Silat Warisan Hang Tuah.










Rabu, 26 September 2018

SEMBAH TAHNIAH

Ucapan Setinggi-tinggi Tahniah kepada Kebawah Kaus Yang Amat Mulia Dato’ Undang Wilayah Naning Melaka ke-21, Dato’ Dr. Nordin bin Abd Jalil.
Dianugerahkan Doktor Kehormat Hak Asasi Manusia (Doutor Honoris Causa em Direitos Humanos) daripada World Oganization of Human Rights Defenders (OMDDH), pada 21 September 2018.


Selain daripada itu, pada majlis penganugerahan yang sama, Yang Amat Mulia juga turut dianugerahkan gelaran Ambassador of Peace.